PH Defisit Keyakinan, ‘Cakap-cakap’ Rombakan Kabinet Untuk Alih Perhatian

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menganggap bahawa ‘cakap-cakap’ berkaitan rombakan kabinet hanyalah satu usaha mengalih perhatian serta membendung defisit keyakinan yang menimpa Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Katanya, ini adalah akibat ‘Tanjung Piai bashing’ iaitu kekalahan PH dengan majoriti yang amat besar iaitu 15,086 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 16 Nov lalu.

“Ia tidak dapat mengubah kebobrokan kerajaan PH. Penyakit PH adalah di kepala bukan di ekor… potong ekor tak mengubah apa-apa,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Minggu lalu tular senarai baharu barisan Kabinet selepas tersebar dakwaan akan berlaku rombakan berikutan beberapa menteri dikatakan gagal mencapai prestasi ditetapkan selain keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai yang tidak berpihak kepada mereka dengan majoriti yang amat besar.

Pada PRK Parlimen Tanjung Piai, wakil BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memperoleh majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding lima yang lain iaitu Karmaine Sardini dari PH-PPBM memperolehi 10,380 undi; Gerakan Wendy Subramaniam 1,707 undi dan Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz 850 undi, manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lok mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar 32 undi.

Sebelum itu, BN telah berjaya mencipta hatrik kemenangan menerusi PRK di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau – UMNO ONLINE