Kami Tidak Pernah Terfikir Akan Lompat Parti – MP Gerik

KUALA LUMPUR, 25 Nov – “Saya tidak pernah sesekali terfikir untuk lompat parti…. Kebetulan beberapa Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional( nak hantar permohonan jadi Azmin ajak semua sekali ke rumah… apa masalahnya, ini adat orang Melayu,” ujar Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Jelas beliau, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Ahli Parlimen yang berjumpa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali telah hilang parti hanyalah satu tanggapan peribadi.

“Apa yang Tun sebut itu mungkin tanggapan dia nak menutup kekalahan yang agak meruncing di PRK (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai.

“Saya pun masih ingat Azmin cakap kepada kami, jangan sesekali lompat parti. Kalau dia nak menafikan tanyalah dia… siapa cakap betul siapa cakap salah.

“Inilah politik… mungkin Tun ada perkiraannya… dia cakap A tapi maksud yang tersirat B tapi kami tidak pernah terfikir pun nak melompat parti daripada awal hingga kini… tidak pernah terfikir,” tegas beliau.

Tambah Hasbullah, sejak dulu Tun memang terkenal dengan kepakarannya dalam membuat percaturan maka isu pertemuan ini juga tidak terlepas daripada percaturan tertentu yang mungkin telah dirancang oleh Tun.

Selain itu beliau turut membidas media yang memperbesarkan hal ini termasuklah membuat spekulasi kononnya ada perancangan tertentu sedangkan keadaan sebenar tidak sebegitu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.