UMNO Perlu Ambil Kira Pelbagai Faktor Untuk Lakar Kejayaan

SEREMBAN, 24 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti perlu memahami bahawa kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas adalah akibat pelbagai isu nasional dan tempatan termasuk faktor luaran dan dalaman.

Justeru katanya, strategi UMNO untuk menang PRU-15 harus mengambil kira usaha mengatasi semua isu-isu berkenaan.

“UMNO tidak boleh berada dalam penafian (denial) mengenai punca-punca kekalahan lepas sehingga menyebabkan strategi tersasar. Muafakat Nasional (MN) adalah satu gerakan politik yang baik namun tidak harus dianggap sebagai jaminan kemenangan PRU akan datang.

“Kita harus sedar Muafakat Nasional hanyalah salah satu strategi, bukannya satu-satunya strategi, untuk menang PRU,” katanya dalam ucapan ketika menutup Konvensyen UMNO Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Konvensyen berkenaan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi.

Dalam masa yang sama Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan seterusnya menambah parti tidak boleh berharap kelemahan Pakatan Harapan (PH) semata-mata.

“Mereka sebagai kerajaan mampu membuat pelbagai kejutan berdekatan PRU akan datang. Jika mahu menang PRU-15, UMNO sendiri harus mengukuhkan struktur parti, memperbaiki kelemahan lalu dan mengurangkan konflik dalaman parti.

“Dengan kata lain jika mahu kekal relevan dan mendapat mandat dalam PRU akan datang, parti harus sedia berubah mengikut peredaran masa dan memahami kehendak rakyat,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.