PH Beri Tender Secara Terus… Satu Lagi Janji Manifesto Yang Ditipu!

KUALA LUMPUR, 24 Nov – “Nampaknya satu lagi janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) dicabuli…,” bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata demikian merujuk kepada sidang media yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Nampaknya satu lagi janji Manifesto PH dicabuli apabila dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam, Perdana Menteri Ke-7 tanpa segan silu mengesahkan bahawa PH boleh memilih untuk mengamalkan perolehan atau pemberian tender secara tender terbuka ataupun rundingan terus,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Tegas beliau, ingin diingatkan bahawa dalam manifesto Buku Harapan, PH dalam janji yang ke-23 menyatakan kononnya,
“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan secara meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”

“Dahulu sewaktu menjadi pembangkang diratibkan bahawa amalan tender terbukalah yang terbaik dan tidak menyeleweng. Hari ini sudah berkuasa semuanya dilupakan.

“Apa lagi alasan nak diberikan? Janji untuk amalkan tender terbuka ini hakikatnya tidak ada implikasi kewangan! Atau masih nak bersandiwara untuk menggunakan alasan tak dapat laksana janji ini kerana hutang negara RM1 trilion juga?”

Semalam, Perdana Menteri dilapor berkata Kerajaan berhak untuk menentukan sama ada pemberian tender Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) secara terbuka ataupun terus.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mendakwa amalan salah guna kuasa berlaku susulan tindakan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka membabitkan nilai lebih RM1 bilion.

Tender tersebut dibatalkan dan dianugerahkan kepada Nafas secara terus. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.