Muafakat Nasional Resepi Terbaik, Gabungan UMNO-PAS Tolak PH Demi Rakyat

SHAH ALAM, 24 Nov- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yakin dengan gerakan Muafakat Nasional hasil kerjasama UMNO dan PAS akan dapat kembali merampas Negeri Selangor dari Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ‘resepi’ yang diketengahkan menerusi Muafakat Nasional adalah berdasarkan kepada kehendak rakyat yang enggan lagi tertipu dengan janji-janji manis PH.

“Kita mempunyai adunan resepi-resepi dalam memorandum Muafakat Nasional. Sedikit demi sedikit telah diterjemahkan dan semakin ramai rakyat memahaminya, kemuncaknya yang terbaru dapat dilihat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai,” katanya yang menjadikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 15,086 sebagai contoh terbaik penolakan rakyat terhadap PH.

Tambah Mat Nadzari lagi, Muafakat Nasional ini mempunyai eleman-eleman yang boleh menjadi agen untuk BN kembali mentadbir negara dan Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang akan datang.

“Kita mengharapkan semangat ini dapat mengembleng bukan sahaja keutuhan dan perpaduan diantara UMNO dan PAS serta gabungan dalam BN tetapi juga dapat menolak PH. Ia akan menjadi satu pasukan yang kuat dan boleh kembali mentadbir Negeri Selangor. Inilah harapan kita semua.

“Saya percaya semangat yang ada membolehkan satu kerjasama lebih erat yang akan berlaku… insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah pelancaran Muafakat Nasional Peringkat Negeri Selangor di sini, malam tadi.
Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar; Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Rosni Sohar; Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor,Wan Haslina Wan Hassan serta kepimpinan UMNO dan PAS Negeri Selangor. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.