Jangan Terus Bernostalgia Dengan Kemenangan Di Tg Piai, Kita Tawan Putrajaya – Zahid

 

SEREMBAN, 23 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti agar tidak terus bernostalgia dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Pada masa yang sama beliau juga tidak mahu kemenangan berkenaan menjadikan ahli ‘bodoh sombong’ kerana perjalanan sudah terbuka luas, namun bergantung sama ada mahu mengikut jalan mudah atau sebaliknya.

“Kita mahu guna ‘highway’ atau jalan lama. Kita pilih jalan ‘highway’. Muafakat nasional adalah lebuhraya atau ‘highway’ ke Putrajaya dan Muafakat Nasional juga adalah ‘highway’ untuk kita rampas semula Negeri Sembilan. Dalam keadaan sekarang ini rakyat makin sedar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Negeri Sembilan yang diadakan di sini, hari ini.

Antara pemimpin yang hadir Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan pimpinan parti yang lain.

Meneruskan ucapannya Zahid turut berseloroh dengan melontarkan pantun berbunyi:

Burung terbang tinggi di awan,
Tinggi lagi kereta terbang;
Negeri Sembilan Insya-Allah kita tawan,
Putrajaya sama-sama kita tebang.

Ahmad Zahid sekali lagi mengingatkan agar semua pihak terus bersatu hati dan mempunyai ketahanan dalaman yang kuat.

“Dalam sejarah apabila ketahanan dalam diri kuat, walaupun dalam bilangan yang sedikit jelas kukuh sebagaimana dalam banyak peperangan yang diketuai Rasulullah s.a.w, jumlah 313 mengalahkan 1,000 orang kerana jumlah adalah kuantiti tetapi ketahanan dalaman adalah satu kualiti.

“Saya amat yakin jika daya tahan ini di dalam UMNO dan BN serta Muafakat Nasional, bila ada gula pasti semut akan datang. Inilah kekuatan baru kepada Muafakat Nasional. Kekuatan dalaman ini harus kita bina. Ianya dibina bukan dengan memaksa tetapi ianya datang secara ‘organik’ dan inilah yang harus kita bina dan ianya datang daripada keikhlasan dalam diri kita,” ujarnya.

Ujarnya lagi rakyat hari ini telah melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan PH dan sepanjang 18 bulan mereka memerintah, rakyat telah putus harapan.

“Rakyat telah kecewa, rakyat telah putus harapan… rakyat menunggu-nunggu dan 18 bulan bagi mereka terlalu lama. Kita bukan mahu mendahului hukum Allah tetapi kita berpegang kepada usaha dan bertawakal kepada Allah s.w.t,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.