UMNO/BN Fokus Bina Kekuatan, Kabinet Kerajaan PH Urusan Mereka – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Sama ada Perdana Menteri (PM) mahu membuat rombakan atau tidak barisan Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu terpulanglah kepada beliau kerana tiada keperluan untuk mencampuri urusan dan hak PM, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, biarpun pelbagai pihak mengkritik dan memberikan pandangan, pada beliau jika PM mahu terus mengekalkan menteri dan timbalan menteri yang sedia ada pun terpulanglah kepada beliau.

“Semua ini bukan urusan kita. Keutamaan kita ialah memperkukuhkan UMNO, melakukan perubahan yang lebih baik kepada Barisan Nasional (BN), dan menjayakan Muafakat Nasional bersama PAS serta parti parti yang lain,” katnya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman facebooknya.

Justeru, katanya, apa juga situasi yang berlaku atau dilakukan oleh Kerajaan PH, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyusun strategi menghadapi Kerajaan PH bagi keuntungan kita.

“Realitinya PM dan kerajaan pimpinannya dalam keadaan yang tidak stabil. Pelbagai pihak tidak meyakininya. Dana asing di Bursa Malaysia semakin hilang. Ringgit semakin menjunam. Pelaburan asing begitu kurang. Pelbagai janji PRU14 tidak tertunai.

“Malah, krisis kepimpinan berlaku dalam Kerajaan PH. Kebanyakan parti PH sedang bermasalah. Pelbagai agensi penguatkuasa diragui kebebasannya. Rakyat semakin menunjukkan penolakan kepada Kerajaan PH.

“Kekalahan berturut di empat pilihan raya kecil, Cameron Highland, Semenyih, Rantau dan terbaru di Tanjung Piai adalah dalil penolakan rakyat kepada PH.”

Ujarnya, PM pula dilihat tidak mendapat sokongan penuh dari pimpinan parti gabungan PH.

“Beliau semakin hilang pengaruh serta hilang kekuatan, dan jika beliau terutama Kerajaan PH mahu runtuh.

“Tiada keperluan untuk kita beri kekuatan kepadanya. Biarlah PH bermasalah kerana saya yakin majoriti rakyat tidak sabar mahu pilihan raya semula diadakan dan memilih kerajaan baru.

“Oleh itu fokus terbaik kita sekarang ialah membina kekuatan. Bersiap sedia bagi membolehkan UMNO BN, Muafakat Nasional mengambilalih semula Kerajaan Malaysia.

“Semua pimpinan dan MP UMNO BN saya yakin bersatu-padu dan bersedia menghadapi semua situasi,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.