Serahlah Mandat Kepada Rakyat… Kerajaan PH Hilang Wibawa, Tidak Diyakini

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kewibawaan dan tidak diyakini pelbagai pihak.

Dalilnya, kata beliau, situasi ekonomi negara kurang memberangsangkan selain kebajikan dan isu rakyat kurang diberi perhatian.

“Pengaliran keluar dana asing dari Bursa Malaysia mencecah sehingga USD 2 Bilion. Ringgit Malaysia diparas USD4.19 ketika ini. Setelah lebih 18 bulan memerintah pelaburan asing begitu kurang biarpun Perdana Menteri dan ramai menteri telah keluar negara,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Tegas beliau, hutang negara bertambah daripada RM686.8 Bilion sebelum Mei 2018 ke paras RM809 Bilion ketika ini dan terbaru Menteri Kewangan meminjam lagi RM2.7 bilion dan ini meningkatkan lagi hutang negara di samping aset dan harta negara terus mahu dijual.

“Terbaru laporan media menyebut UEM Sunrise milik Khazanah dikatakan akan digabungkan dengan syarikat swasta EcoWorld milik Tan Sri Liew Kee Sin selewatnya akhir tahun ini. Jika ini berlaku pasti ia akan menjadi syarikat hartanah terbesar di Malaysia.

Persoalannya siapa yang akan mengurus syarikat ini. Kerajaan PH mesti telus dan menjelaskannya kepada rakyat.

“Akuilah, kekalahan berturut PH di empat pilihan raya kecil iaitu Cameron Highland, Semenyih dan Rantau serta terbaru Tanjung Piai kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar 15,086 adalah isyarat jelas penolakan rakyat kepada PH.

“Semua ini bukti Kerajaan PH tidak diyakini. Krisis kepimpinan berkaitan isu peralihan kuasa menjejaskan negara dan rakyat.”

Katanya, hampir kesemua parti politik dalam Kerajaan PH menghadapi masalah dan semua ini menjejas tumpuan memajukan negara dan membela rakyat.

“Kita bimbang Malaysia akan mundur kebelakang dan akan ditinggalkan dalam pelbagai bidang terutama ekonomi oleh negara jiran dan serantau.

“Jika berterusan begini, serahkanlah mandat semula kepada rakyat. Biar rakyat tentukan masa depan negara dengan memilih kerajaan baru,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.