PH Terimalah Hakikat… Keputusan PRK Tanjung Piai Keputusan Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah berpunca daripada suara rakyat dan pengundi di kawasan terbabit yang mahu melihat kerajaan hari ini sedar dan tahu tanggungjawab mereka yang sebenarnya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Anuar Manap percaya itulah realitinya dan itulah hakikat yang sebenarnya bahawa rakyat telah melahirkan hasrat dan perasaan mereka hari ini terhadap kerajaan sedia ada.

Menurut beliau dengan keadaan ekonomi yang merundum dan ditambah pula dengan suasana politik dalam negara yang tidak stabil menyebabkan rakyat bangun menyatakan menerusi ‘referendum kecil’ di Tanjung Piai.

“Di Tanjung Piai kekalahan mereka sebab yang kita boleh nampak jelas adalah penolakan rakyat… dalam keadaan sekarang kita lihat ekonomi negara agak merundum.

“Kepercayaan mereka untuk meletakkan kerajaan baru menerusi PH menerajui negara nampaknya jauh tersasar daripada jangkaan mereka yang lepas kononnya isu korupsi, ketidakjujuran kepimpinan yang lepas dan itu dimainkan secara fitnah oleh mereka… akhirnya hari ini memakan mereka. Sebab itulah kita lihat jumlah undi yang diterima melangkau daripada jumlah kita tidak jangka,” katanya kepada UMNO-Online.

Selepas kalah di PRK Tanjung Piai, Dr Syed Husin Ali melontarkan kritikan yang menyifatkan kekalahan PH sebagai referendum rakyat yang kecewa dan mahu “mengajar” kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Anuar seterusnya menambah kelemahan kepimpinan mereka juga terserlah pada PRK berkenaan dan apa yang berlaku itu memperlihatkan senario yang ada dalam PH hari ini.

“Saya bukannya nak campur masalah dalaman mereka cumanya apa yang kita nampak begitulah. Contoh apabila ceramah kehadiran yang tidak ramai dan terpaksa mengangkut orang luar, kemudian ramai jentera yang bekerja adalah jentera daripada luar dan bukannya tempatan.

“Dan ini adalah penolakan kepada PH. Sepatutnya PH dah boleh lihat ini sebagai keutamaan … bukannya petunjuk tetapi sekurang-kurangnya momentum  baru daripada rakyat menyatakan mereka sudah  jemu dan muak dengan apa yang berlaku pada hari ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.