Masa UMNO/BN Rapatkan Saf, Jangan Terperangkap Umpan Lawan Kelemasan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan sudah tiba masanya semua kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali merapatkan saf.

“Usah terperangkap dan termakan umpan pihak lawan yang sedang kelemasan mencari nyawa dan berantakan sesama sendiri,” katanya.

Jelas beliau dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya, rakyat hakikatnya sedang menilai setiap kita atas segala percaturan yang dilakukan.

“Rakyat mahu kita kembali berkuasa tetapi dengan cara terhormat. Kemenangan di Tanjung Piai adalah isyarat jelas bahawa rakyat marah dan sudah mual dengan Kerajaan PH. Namun tidak semestinya rakyat sudah bersedia menerima kita.

“Yang penting UMNO kena terus muhasabah, merendah diri dan terus melakukan pembaikan dalaman parti agar kita dapat menagih kembali keyakinan dan sokongan rakyat dengan tawaran baru kepada rakyat bersama rakan-rakan Muafakat Nasional.

“Dengan kenyataan media oleh 15 Ahli-Ahli Parlimen ini maka usah kita menoleh ke belakang lagi, ayuh bersama-sama kita mara terus ke hadapan sederap dan sehaluan,” katanya lagi.

Terdahulu, semalam tujuh ahli parlimen UMNO menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kehadiran mereka pada majlis makan malam di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali pada 18 Nov lalu.

Tujuh ahli parlimen itu ialah Ismail Mohamad Said (Kuala Krau), Salim Sharif (Jempol), Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Azalina Othman Said (Pengerang), Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.