Khairy Nafi Hantar Surat Untuk Usul Peralihan Kuasa PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan telah menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul bagi membahaskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Beliau membuat penafian tersebut menerusi media sosial miliknya berikutan tular surat berkaitan.

“Hari ini telah tular gambar kononnya suatu surat pemberitahuan daripada saya kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawa serta membincangkan usul tentang tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Saya menafikan telah menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat kepada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul seperti dalam gambar yang telah disebarkan,” katanya.

Tegas beliau, tindakan pihak yang menggunakan namanya adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“Tindakan pihak yang telah menyamar dengan menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan suatu fitnah yang boleh menjejaskan reputasi saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan parti Barisan Nasional.”

Menerusi gambar yang tular, surat terbabit menggunakan kepala surat Ahli Parlimen Rembau yang palsu bertarikh 20 Nov dan telah dicop terima oleh Parlimen sehari kemudian tanpa membuat semakan kepada beliau.

Jelasnya, surat terbabit ternyata palsu kerana beliau tidak pernah menggunakan kepala surat dengan YB Khairy Jamaluddin.

“Jadi tolong jangan libatkan saya dalam hal penggantian. Saya tidak terlibat dan tidak berminat. Soalan penggantian harus diselesaikan oleh Pakatan (PH). Ia tidak ada kaitan dengan saya atau parti saya. Saya berminat dalam membahas dan membincangkan dasar yang boleh membantu Malaysia yang kini semakin teruk di bawah Pakatan.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.