Kekurangan Kertas Soalan Calon SPM Tidak Boleh Berulang Lagi – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan agar memastikan masalah kekurangan kertas soalan yang dihadapi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Katanya, beliau mendapat maklumat bahawa calon SPM 2019 tidak dapat memulakan peperiksaan subjek Kimia Kertas 3 pada waktunya kerana kekurangan bilangan kertas peperiksaan berbanding bilangan calon yang ada.

“Peperiksaan sepenting ini tidak boleh ada kecacatan daripada aspek teknikal kerana boleh mengganggu emosi calon-calon serta menyebabkan situasi menjadi gelabah dan tidak menentu.

“Persoalannya adakah ini yang kita mahukan terjadi kepada anak-anak pelajar yang telah membuat persiapan rapi sejak sekian lama?” soal beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata demikian dalam kenyataan media hari ini.

Dilaporkan, semalam Lembaga Peperiksaan telah memohon maaf kepada semua calon SPM yang menduduki peperiksaan Kimia Kertas 3-Amali Bertulis berikutan masalah kekurangan kertas soalan yang dihadapi di pusat peperiksaan.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, peperiksaan itu sepatutnya dijadualkan pada jam 2 hingga 3 petang, namun disebabkan masalah teknikal di pusat peperiksaan berkenaan, calon terpaksa menduduki kertas itu agak lewat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.