Rombakan Kabinet, Terserah Perdana Menteri – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai kuasa penuh dalam menentukan siapa kekal dan siapa digugurkan dalam rombakan Kabinet tahun depan.

Jelas beliau, rombakan kabinet adalah kuasa Perdana Menteri dan boleh menggunakan kuasanya bila-bila masa beliau suka.

“Kalau nak rombak esok pun Perdana Menteri boleh rombak dan itu satu kuasa yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri itu biasanya diserahkan dan ditetapkan oleh Perdana Menteri, kalau nak tukar sesiapa itu berdasarkan KPI pada menteri itu sudah mencapai atau tidak.

“Jangan kita campur kuasa Perdana Menteri dan jangan kita kata Menteri itu ditukar atau Timbalan Menteri ditukar. Sewaktu dulu pun semasa BN menjadi kerajaan merombak kabinet itu adalah kuasa Perdana Menteri. Masa, siapa… itu terserah pada Perdana Menteri,’ katanya kepada media hari ini, di sini.

Katanya, mengenai 17 ahli parlimen yang menemui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini, Lembaga Displin UMNO yang akan menentukannya.

“Jawatankuasa pengurusan akan melihat tentang 17 ahli parlimen sama ada terima atau tidak dan akan membawa kepada pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dan MKT akan membuat keputusan terakhir.

“Jawatankuasa Disiplin UMNO adalah jawatankuasa yang bebas dan MKT tidak boleh campur tangan bagaimana lembaga disiplin menguruskannya.”

Tambahnya lagi, terserah kepada Jawatankuasa Disiplin sama ada nak siasat atau tidak, pucuk pimpinan MKT menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.