“Rakyat Jangan Kecewa, Menteri Dah Boleh ‘Terbang’….”

KUALA LUMPUR, 21 Nov – “Rakyat jangan kecewa, menteri dah boleh ‘terbang’,” demikian sindir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berikutan keputusan pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ yang dijadualkan hari ini.

CAAM dalam kenyataan semalam menegaskan, lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial yang terletak di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.

Terdahulu, Khaled menerusi laman Facebooknya membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH), berikutan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memaklumkan kereta terbang yang diuar-uarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof adalah sejenis dron.

“Tak kan Menteri Pengangkutan cakap tak betul dalam parlimen. Menteri Pembangunan Usahawan kerajaan PH, cukup-cukuplah memperdayakan rakyat dengan kereta terbangnya. Banyak kerja berfaedah patut ditumpukan,” katanya.

Isnin lalu, Mohd Redzuan telah mengesahkan beliau sendiri akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.