Aura Muafakat Nasional Berjaya Gerakkan Tsunami ‘Telan’ PH Di Tg Piai

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, aura Muafakat Nasional yang terbukti tidak mengenepikan agama dan bangsa lain akhirnya berjaya diimplementasikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai apabila ia menggerakkan tsunami ‘menelan’ Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, rakyat Tanjung Piai mula menyedari unjuran Muafakat Nasional adalah apabila Barisan Nasional (BN) meletakkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon dan ia disokong penuh oleh parti komponen termasuklah parti PAS.

“Sebab itu PH terdampar dek tsunami kebencian dan rasa marah rakyat. Rakyat bertambah marah bila pemimpin PH berlumba-lumba datang mengumumkan gula-gula sogokan pilihan raya. Ada juga yang sanggup mengatakan peruntukan yang diberi kerana memenuhi permintaan arwah. Jadi rakyat Tanjung Piai tertanya-tanya adakah peruntukan turun hanya diberi bila ada wakil rakyat meninggal? Kalau tidak meninggal tidak ada?

“Untuk itu, kita telah membawa isu indeks kebahagiaan dunia tahun 2019… terkini Malaysia di tangga 80 dari 35 sebelum tu, jatuh 45 tangga… betapa tidak bahagianya rakyat dan ia dimanifestasikan oleh rakyat Tanjung Piai yang memberi tsunami yang menggambarkan indeks tersebut.

“Inilah akibatnya bila kerajaan degil tidak mendengar suara rakyat… janji nak hapus tol tapi tak hapus, yang hapus juru tol dan laluan tambah nilai, kasut putih tukar kasut hitam… janji 100 hari tak tertunai dengan bermacam-macam alasan diberi, sekarang sudah dekat dua tahun, apa lagi alasan nak diberi,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen Dari Parlimen yang membawa tajuk ‘Tsunami Politik dan Muafakat Nasional’ malam tadi.

Tambah Dr Adham, rakyat semakin marah dan bimbang apabila melihat pentadbiran PH yang kucar-kacir sehingga menyebabkan hutang negara semakin bertambah dan penjualan aset yang berleluasa.

“Sekarang rakyat Tanjung Piai ternanti-nanti mana janji hendak beri RM1,000 kepada nelayan? Janji ini sudah senyap sunyi yang berbunyi adalah nak jual KFC oleh Johor Corp… ini yang buat orang Johor lagi marah.

“Rakyat semakin takut dan tertanya-tanya adakah kerajaan sekarang ini boleh mengatasi masalah ekonomi yang menguncup dan nilai ringgit yang makin merosot. Alasan yang diberi oleh kerajaan kini kena tunggu lima tahun kerana mereka masih ‘baby’ tidak boleh diterima rakyat,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.