Tg Piai Bukti Rakyat Pelbagai Kaum Berpadu, Enggan Ditipu – Annuar

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kejayaan Barisan Nasional (BN) kembali merampas Parlimen Tanjung Piai menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu adalah mesej bahawa Malaysia yang diterajui masyarakat pelbagai kaum berpadu demi negara yang maju dan enggan lagi ditipu, tegas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, Tanjung Piai adalah ‘Truly Malaysia’ yang mengetengahkan suasana harmoni ala BN dengan semangat Muafakat Nasional.

“Setelah diputuskan bahawa calon BN adalah dari MCA, saya ditugaskan membawa berita itu kepada pimpinan akar umbi Tanjung Piai. Ramai tidak mengetahui apa yg saya lalui malam itu dan bagaimana saya terpaksa membendung kekecewaan mereka beberapa ketika.”

Namun begitu, katanya, beliau bangga melihat bagaimana mereka akhirnya menerima dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti.

“Selepas itu saya berkampung dua minggu di Tanjung Piai. Dapatlah saya saksikan bukan saja betapa setianya akar umbi pada parti tetapi lebih membanggakan apabila melihat jentera BN pelbagai kaum serta PAS bekerja keras membantu calon iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau.

Katanya, beliau yang juga mengendalikan ‘war room’, atur strategi dan selaraskan operasi UMNO turut berpeluang menemui malah melatih jentera MCA selain berceramah di khalayak pengundi Cina.

“Anak muda Melayu, Cina, India bekerja bersama-sama. Naratif dan ‘story-board’ yang sama iaitu mendukung aspirasi BN dan Muafakat Nasional.

“Hasilnya 8-9 dari 10 pengundi Melayu memangkah Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng… lebih dari 40 peratus pengundi Cina turut menyokong… Tanjung Piai Truly Malaysia… harmoni berpadu ala BN dan dengan semangat Muafakat Nasional

“Inilah mesej dari penghujung Benua… Malaysia yang satu, pelbagai kaum yang berpadu demi negara yang maju… dan tidak lagi mahu ditipu. BN dan Muafakat Nasional adalah Muafakat Rakyat. Terima kasih Tanjung Piai. Salam 15,086 buat Malaysia!” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Sabtu lalu, Dr Wee telah menumbangkan calon PH dan empat yang lain dengan majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding lima yang lain.

Ini merupakan kemenangan buat kali kedua BN ke atas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mewakili PH, diketuai oleh pengerusinya yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini BN merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dari PPBM dengan majoriti 1,914 undi setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Karmaine Sardini dari PH-PPBM memperolehi 10,380 undi; Gerakan Wendy Subramaniam 1,707 undi dan Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz 850 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.