Kereta Terbang Atau Drone… Menteri Terus Diasak Gamatkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Isu mengenai kereta terbang terus menjadi persoalan dan terus dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pembangkang hari ini dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof terus diasak mengenai perkara berkenaan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mententeramkan suasana dalam Dewan setelah tercetus perdebatan antara menteri terbabit dengan beberapa ahli parlimen pembangkang yang terus mengasak Datuk Seri Mohd Rezuan mengenai kereta terbang.

Terdahulu sebelum itu, Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Sharif membangkitkan persoalan mengenai kereta terbang sebelum beliau bertanyakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan.

“Saya masih ternanti-nanti kereta terbang esok yang akan terbang atau pun ‘drone’. Saya menasihati menteri pakai paracut dibimbangi apa-apa berlaku,” katanya.

Mohd Rezuan Yusof kemudiannya cuba menjawab persoalan mengenai perkara yang dibangkitkan.

“Tadi nampaknya ada soalan sampingan… saya bertanggungajwab untuk memberi sedikit ilmu. Semalam disebutkan oleh Pasir Salak..,” katanya yang terus disampuk oleh beberapa oleh ahli parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tajuddin yang bangun mencelah berkata, “Dronelah… menteri pengangkutan kata dronelah,” katanya.

Kemudiannya disambut pula oleh Dr Shamsul Anuar, “saya ingat buat sesi khaslah buat penerangan mengenai kereta terbang ini. Tidak payah dalam nilah. Malu orang dengar kat luar,” ujarnya.

Mohd Rezuan meneruskan hujahnya dengan membangkitkan mengenai dasar Keusahawanan Nasional.

“Yang pentingnya kita baca Dasar Keusahawanan Nasional, antara teras strategik kita adalah untuk membangunkan industri penerbangan, aeroangkasa dan mobiliti udara. “Call whatever you like (panggil apa saja kamu suka) … dron ke, kereta terbang ke, aerocar… its all about air mobiliti (mobiliti udara),” tambahnya.

Dr Shamsul Anuar terus mencelah dengan mengatakan isu yang timbul adalah tidak jelas.

“Isunya YB menteri sekejap kata ini… sekejap kata itu. Tidak betul… itu isunya… lagi banyak YB cakap… lagi satu Malaysia gelak. Tidak payah cakap… kerja menteri pengangkutan YB buat. Bercakap soal usahawan lagi baguslah YB… dunia boleh tahulah…,” katanya.

Perbahasan yang berterusan kemudiannya ditenangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan meminta semua Ahli Parlimen hadir ke sesi uji pandu dron esok bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

“Ini sesi soal jawab, takpalah… menteri dah jemput semua pergi untuk melihat. Dron ke apa ke… esok pergilah,” katanya.

Isnin lalu, Mohd Redzuan pada sidang Dewan Rakyat mengesahkan beliau akan menghadiri sesi uji pandu ‘kereta terbang’ yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Khamis ini.

Malah, beliau turut memanjangkan jemputan kepada Ahli Parlimen untuk menyaksikan sesi uji pandu berkenaan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.