Isyarat Jelas… Bubar Parlimen Jalan Terbaik Redakan Kecelaruan Politik Negara

KLUANG, 20 Nov – Ketua UMNO bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu isyarat yang sangat jelas bahawa rakyat kini menolak kerajaan di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang semakin bercelaru.

Jelas beliau, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad juga kini seakan tidak mendapat sokongan majoriti dari kepimpinan PH dan ini terbukti apabila mereka menyalahkan Tun sebagai punca kekalahan teruk PH di PRK tersebut.

“Maka saya berpandangan gabungan Muafakat Nasional bersama-sama Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus mendesak perdana menteri untuk membubarkan Parlimen supaya rakyat boleh pilih atau beri mandat baru kepada komponen yang sesuai bagi membentuk kerajaan baru.

“Walaupun ada penganalisa politik berpandangan bahawa desakan bubar kerajaan adalah sesuatu yang lucu namun beberapa faktor perlu dipertimbangkan mengapa desakan tersebut disuarakan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Jais, selain faktor kekalahan teruk PH di Tanjung Piai dan Tun tidak lagi mendapat sokongan dari kepimpinan PH sendiri, faktor sokongan ‘berbelah bahagi’ dari semua parti baik kerajaan mahupun pembangkang harus diambil kira.

“Seandainya ada cadangan pakatan baru, mungkin juga kerajaan tidak stabil kerana sokongan ‘berbelah bahagi’ dari parti-parti yang terlibat sama ada UMNO, PPBM ataupun PAS sendiri dan dalam masa yang sama PKR (PM-8) dan Dap akan terus juga beri tekanan.

“Maka dalam kekucar-kaciran ini … jalan terbaik adalah bubar Parlimen dan kembali memberi mandat untuk rakyat memilih.

“Inikan negara demokrasi maka kuasa terbesar adalah rakyat,” tegas beliau lagi.

Sabtu lalu, BN melalui wakilnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dalam PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi menewaskan calon PH dan empat yang lain. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.