Silalah ‘Bermaharajalela’… Ada Sebab Orang Panggil Guan Eng ‘Tokong’ – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR, 19 NOV – “Kalau Lim Guan Eng rasa kuasa berada ditangannya, silakanlah bermaharajalela… kekalkanlah keangkuhan ini, kekalkan ego ini… biarlah rakyat menilai,” ujar Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Jelas beliau, MCA sama sekali tidak akan berganjak daripada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) walaupun diugut oleh Guan Eng.

“Inilah keangkuhan Guan Eng yang teramat sangat. Walaupun rakyat telah menghantar isyarat yang begitu signifikan (di PRK Tanjung Piai) tapi dia masih lagi berdegil dengan keputusannya jadi biarlah dia.

“Inilah sebab kenapa orang panggil dia tokong. Dia akan kekal dengan keputusan sendiri.

“MCA tidak akan berganjak kerana kita tidak buat apa-apa kesilapan jadi mengapa hendak dipersalahkan? Adakah kerana kita telah mengasaskan sebuah institusi yang telah melahirkan ratusan ribu graduan… apakah itu dosa besar kita? Kita melahirkan bukan orang Cina sahaja, menteri PH Salahuddin Ayob juga adalah graduan daripada kolej TAR,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam Guan Eng berkata, beliau kekal dengan pendirian bahawa kerajaan akan menyalurkan lebih peruntukan kepada TAR UC di bawah Belanjawan 2020 sekiranya MCA melepaskan penguasaannya ke atas institusi itu.

Beliau menyatakan bahawa TAR UC boleh memperoleh sehingga RM60 juta daripada kerajaan jika MCA melepaskan kawalannya ke institusi pendidikan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.