PH Umpama Dilanda Gempa Bumi, Ranapkan Gabungan Kerajaan – Puad

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti besar berjumlah 15,086 undi seumpama meletakkan Pakatan Harapan (PH) dilanda gempa bumi 10 skala richter yang meranapkan bukan saja kerajaan tetapi gabungan di dalamnya, kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan pengerusi Dap Johor, Liew Chin Tong yang diumumkan sebagai wakil kaum Cina sekiranya calon PH, Karmaine Sardini menang dalam PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu.

“Dap umpama gempa bumi… ungkapan ini datang dari mulut Liew Chin Tong. Kekalahan itu menurutnya lagi umpama ‘permulaan kepada pengakhiran’ terhadap PH.

“Permulaan kepada pengakhiran? Apakah dia memberi signal, Dap akan meninggalkan Tun Mahathir kerana tidak lagi sanggup memikul biawak hidup.

“Atau Tun M akan menendang Dap keluar kerana Daplah biawak hidup yang menyebabkan Melayu menolak PH,” soal beliau dalam kenyataan di sini.

Katanya, Chin Tong juga mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) menggalakkan lagi politik rasis di Malaysia.

“Sebenarnya Dap yang akan semakin rasis. Dap akan mendakwa pengundi Cina menolak PH sebagai protes kegagalan Dap menangani beberapa isu kaum Cina.

“Sudah tentu untuk mendapatkan balik sokongan orang Cina, Dap lebih terdesak memainkan isu kaum.”

Terang beliau, Chin Tong juga mencadangkan lawatan ke seluruh negara untuk mendengar suara akar umbi dan dari situ, satu tawaran baru akan dikemukakan.

“Tawaran baru atau penipuan baru? Takkan selama ini Dap tidak tahu punca kemarahan rakyat.

“Sebenarnya PH dilanda gempa bumi 10 skala richter. Ia akan meranapkan bukan sahaja Kerajaan PH tetapi juga gabungan PH selagi orang seperti Tun M, Guan Eng, Kit Siang, Tommy Thomas dan Latheefa Koya masih berada dalam arus perdana politik dan pentadbiran.

“Bukan itu sahaja ia akan disapu bersih oleh tsunami yang menyusul selepas gempa tersebut. Apa lagi mau tipu!” bidas beliau lagi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Pada pengundian PRK yang berlangsung Sabtu lalu, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi setelah mendapat 25,466 undi.

Beliau menewaskan calon PH Karmaine Sardini yang hanya mendapat 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding hilang wang pertaruhan iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.