Pembangkang Patut Tumpu Soal Rakyat, Tak Terlibat Soal PH – Najib

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ahli parti tidak sepatutnya terlibat dalam permasalahan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, sebagai parti pembangkang, tanggungjawab pemimpin adalah menumpu kepada soal rakyat.

“Kita mesti dinampakkan sebagai parti yang terus-menerus memberi naratif dari segi apa yang patut diberikan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

“Jadi, perjumpaan tersebut perlulah disiasat oleh jawatankuasa disiplin sepertimana yang telah diumumkan oleh Presiden parti kerana kita perlu menjaga kesatuan parti, disiplin parti dan apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah bersifat kepartian. Inilah soal berparti, kita mesti ada semangat berparti,” ujar beliau di lobi Parlimen hari ini.

Namun begitu tambah Najib, beliau tidak mahu mendahului jawatankuasa disiplin.

“Tapi walau pelbagai alasan diberi, kalau ada pertemuan sekurang-kurangnya patut dibuat di pejabat dan bukan di rumah.

“Sekiranya dibuat di rumah tengah malam, ia membawa pelbagai intepritasi tapi kalau nak bincang projek ke sebagainya, sepatutnya di pejabat dan dimaklumkan kepada WIP parti atau ketua pembangkang,” jelas beliau.

Najib berkata demikian mengulas pertemuan wakil rakyat BN dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali malam tadi.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 22 wakil rakyat BN berkumpul di kediaman rasmi Azmin yang juga adalah menteri ekonomi pada sekitar jam 9.30 malam dan perjumpaan berlangsung selama dua jam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.