Fahami Isyarat Rakyat, Jangan Khianat… Jawatankuasa Disiplin Tegas

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Pergerakan Puteri UMNO menyokong penuh kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan semua wakil rakyat UMNO patuh kepada ketetapan parti dan apa sahaja tindakan mestilah dibuat secara bersama atau ‘enblock’.

Menurut Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, Puteri UMNO juga bersetuju semua ahli parlimen terbabit disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin parti dan diambil tindakan tegas.

“Kepada ahli-ahli akar umbi di bawah saya nasihatkan agar bertenang, dan terus bersama-sama pucuk pimpinan parti melawan kerajaan Pakatan Dap yang menzalimi rakyat hari ini dan tendang mereka dari Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Kelima belas (PRU-15) nanti,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini, mengulas kekecohan dan viral tentang berita pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di rumah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Tambahnya lagi, tindakan sebilangan ahli parlimen itu dipertikai rakyat di bawah, tidak kurang juga yang menzahirkan rasa marah terhadap mereka.

“Apa juga motif dan niat mereka, ia bukanlah satu tindakan yang wajar kerana sudah pasti pertemuan itu membelakangi parti.

“Dalam keghairahan segelintir pemimpin pembangkang yang masih berkira-kira untuk berkuasa semula melalui pintu belakang diingatkan bahawa parti kita masih bermaruah, jangan sesekali gadai kepercayaan rakyat,” jelasnya lagi.

Ulas lanjut, Zahida berkata kemenangan besar BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini membuktikan rakyat sudah pun menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan memilih BN sebagai wakil suara mereka di Dewan Rakyat.

“Jadi ahli Parlimen BN sepatutnya lebih hargai mandat daripada rakyat dan lebih fokus kepada kerja-kerja membela serta mengangkat suara mereka daripada terlibat dalam kancah masalah dalaman parti-parti kerajaan PH,” katanya. – UMNO ONLINE