Tg Piai Isyarat Jelas Rakyat Kepada PH, Jangan Angkuh Jaja Kepalsuan

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Meskipun kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak memberi kesan teknikal kepada kedudukan Kerajaan di Dewan Rakyat yang dikuasai Pakatan Harapan (PH), namun majoriti 15,086 undi telah berjaya menggegar mereka yang selama ini angkuh mendabik dada menjaja kepalsuan, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob.

Beliau yakin bahawa tiada sesiapa pun yang mampu memaksa rakyat untuk memilih BN pada hari pengundian Sabtu lalu.

“Rakyat kini dapat menilai sendiri tentang PH dan memutuskan untuk memilih BN berbanding parti pemerintah itu. Mereka sendiri menilai parti yang lebih baik dan membuat pilihan masing-masing.

“Alhamdulillah, puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya memberi kemenangan kepada perjuangan Muafakat Nasional di Parlimen Tanjung Piai. Terima kasih Tanjung Piai kerana telah memilih seikhlas hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, BN pula tidak sewajarnya angkuh atau sombong dengan kemenangan di Tanjung Piai ini, sebaliknya harus menginsafi hasrat rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang jauh lebih baik berbanding PH.

“Kita harus bekerja lebih keras memberikan khidmat terbaik dan terus berjuang untuk rakyat.

“Sesungguhnya kemenangan BN di Tanjung Piai merupakan satu manifestasi sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Muafakat Nasional yang bersifat lebih inklusif serta mencakupi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, budaya, warna kulit dan sebagainya.

“Syukur kepada Allah SWT yang menguji BN dengan kekalahan, namun hikmahnya telah membangkitkan semula BN untuk membentuk Muafakat Nasional bersama PAS sekaligus menawarkan kerjasama strategik untuk membina sebuah kerajaan yang lebih baik di Malaysia nanti, insya-Allah.

Tegasnya, perjuangan Muafakat Nasional masih jauh perjalanannya.

“Justeru itu, ayuh kita terus istiqamah bersama untuk menjayakan agenda Muafakat Nasional bersama redha Allah. Allahu Akbar..!” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.