MCA Tidak Ambil Mudah Dan Selesa, Terus Bekerja Perbaiki Kelemahan

 

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata parti itu tidak akan mengambil mudah dan pada masa yang sama tidak menggangap perkara yang selesa selepas kemenangan Datuk Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu.

Sebaliknya tegas beliau segala gerak langkah akan diatur bagi memperbaik jika ada mana-mana kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

“Bagi pihak MCA, saya sekali lagi merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kemenangan BN baik semua parti komponen, rakan pembangkang lain dan ini menunjukkan satu keserasian dan juga semangat kerjasama yang amat tinggi. Harap sebagai pembangkang kita akan dapat bekerjasama atas perjuangan untuk rakyat.

“Terharu melihat semangat kerjasama kali ini dan inilah yang diterjemahkan dalam undi dan saya rasa kita terhutang budi kepada semua pihak,” katanya pada sidang media di lobi parlimen, di sini, hari ini.

Tambah Wee, ‘post-moterm’ yang akan dilaksanakan kelak akan mengambil kira pelbagai aspek dan beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan mandat yang cukup besar.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan penduduk Tanjung Piai yang memberikan mandat agak kuat dan mandat besar itu kita tidak ambil mudah. Akan buat ‘post moterm’ dimanakah perlu diperbaiki,dan kita akan buat analisa apakah sebab yang menyumbang kepada kemenangan ini.

“Dan apakah kekurangan yang ada PH dan pada masa yang sama kita akan lihat apakah peranan yangboleh dimainkan oleh kita selaku pembangkang,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau melihat hari pertama Dr Wee di Dewan Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab membawa suara rakyat ke parlimen.

“Tahniah kepada Dr Wee Jeck Seng dan ucapkan selamat bertugas. Apabila masuk sahaja ke parlimen, terus merebut soalan dan memang diberi peluang oleh speaker tadi untuk bertanya dan saya terharu walaupun baru sahaja dipilih dua hari yang lalu telah mengemukakan soalan atau soalan tambahan kepada menteri tentang kesengsaraan nelayan di Kukup.

“Ini satu contoh yang baik… sebelum ini ditohmah macam-macam kata wakil rakyat ini jarang tanya soalan, hari ini terbukti jam pertama sudah tanya soalan. Ini menunjukkan bahawa beliau mula bekerja dan akan terus memelihara nasib orang kampung khususnya warga Tanjung Piai,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.