Kemenangan BN Di Tanjung Piai Referendum Terhadap PH – Zahid

 

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menunjukkan manifestasi pengundi di kawasan berkenaan yang menolak Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau walaupun ianya bukanlah referendum di peringkat nasional tetapi ianya merupakan satu referendum kecil daripada rakyat di akar umbi terhadap kerajaan hari ini.

“Daripada 93 saluran kita cuma kalah satu saluran tetapi kita menang di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM). Disamping itu pengundi-pengundi muda juga daripada pelbagai kaum balik kepada BN. Ini memperlihatkan bahawa PH telah ditolak oleh pengundi-pengundi di Tanjung Piai.

“Dan ini merupakan satu manifestasi penolakan keseluruhan walaupun ini bukan satu referendum peringkat nasional tetapi ianya merupakan satu referendum kecil.

“Kita lihat bahawa pada keseluruhannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengandaikan cuma 75 peratus yang akan keluar mengundi jelas bahawa apabila 74.4 peratus keluar mengundi ertinya mereka mempunyai minat untuk memberikan mandat kepada YB Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng untuk mewakili mereka,” katanya kepada media di lobi parlimen, di sini hari ini.

Tambah Zahid lagi biarpun mereka (pengundi) tidak tahu bahawa tidak akan ada peruntukan sebagai ahli parlimen pembangkang, namun bagi mereka itu tidak sepenting untuk menghantarkan satu isyarat kepada kerajaan yang ada sekarang.

“Majoriti di luar jangkaan adalah satu petanda bahawa mereka tidak boleh memperkecilkan ahli-ahli parlimen pembangkang dan suara ahli parlimen pembangkang akan terus menyuarakan isu-isu rakyat kerana mereka mengharapkan kami untuk membawa isu rakyat di dewan rakyat,” tambahnya.

Anggota Parlimen blok pembangkang di Parlimen bertambah apabila, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Dr Wee memperoleh undi dengan majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding lima yang lain iaitu Karmaine Sardini dari PH-PPBM memperolehi 10,380 undi; Gerakan Wendy Subramaniam 1,707 undi dan Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz 850 undi, manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lok mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar 32 undi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.