Ahli Parlimen BN Bertambah, Dr Wee Jeck Seng Angkat Sumpah

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Anggota Parlimen blok pembangkang di Parlimen bertambah apabila, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Dr Wee memperoleh undi dengan majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding lima yang lain iaitu Karmaine Sardini dari PH-PPBM memperolehi 10,380 undi; Gerakan Wendy Subramaniam 1,707 undi dan Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz 850 undi, manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lok mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar 32 undi.

Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Dr Wee juga merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet BN.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, berlangsung bermula 7 Okt lalu dan akan berakhir pada 5 Dis depan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.