Referendum Rakyat, Pengundi Sudah Mula Bersuara – Jefridin

TANJUNG PIAI, 17 Nov – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi, semalam membuktikan bahawa rakyat sudah bersuara.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan kemenangan tersebut cukup bermakna.

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini menjawat Ahli Parlimen Tanjung Piai sekali gus merampas kembali jawatan yang pernah disandang bagi dua penggal sebelum ini.

“Para pengundi Tanjung Piai telah pun membuat pilihan dan mula bersuara dan melihat majoriti 15,086 undi satu jumlah yang agak luar biasa dalam saat kita kekalahan masa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Ini satu referendum yang jelas kepada kerajaan PH bahawa rakyat hendakkan perubahan dan itulah di suarakan oleh para pengundi Tanjung Piai di penghujung benua Asia.

“Kita melihat bahawa strategi Muafakat Nasional yang diperkenalkan amat memberansangkan dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan komponen BN dan juga rakan PAS kerana kerjasama yang utuh ini membawa kejayaan yang cukup besar.” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

PRK Parlimen Tanjung Piai ini menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Enam calon terbabit dalam PRK Tanjung Piai ialah, Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Gerakan Wendy Subramaniam, BERJASA, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.