PRK Tg Piai: Kemenangan BN Citra Baru Bersama Muafakat Nasional

TANJUNG PIAI, 17 Nov -Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terharu dengan semua pendukung-pendukung jentera parti Barisan Nasional (BN) dan juga jentera PAS khususnya yang bekerja keras di Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai.

Katanya, pertama sekali adalah melakukan sujud syukur dan berterima kasih kepada Allah kerana tanpa Allah, kemenangan ini tidak mungkin mencapai kejayaan yang luar biasa pada hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Tanjung Piai kerana telah memberikan isyarat yang cukup baik kepada seluruh rakyat bahawa kita ingin kembali.

“Kembali kita dengan maruah, kembali kita dengan suatu citra baru dengan Muafakat Nasional yang mana Muafakat Nasional ini tunjangnya Melayu, Bumiputera dalam realiti majmuk masyarakat pelbagai agama dan kaum,” katanya kepada UMNO-Online, malam tadi, di sini.

Asyraf menjelaskan formula ini telah terbukti dengan BN membina negara selama 60 tahun dan berharap dapat diterjemahkan dalam citra baru untuk rakyat iaitu citra Muafakat Nasional.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Tanjung Piai. Insya-Allah… kami akan pastikan supaya UMNO tidak lupa daratan dan BN akan terus bekerja untuk rakyat menjadi suara hati rakyat bagi kita menterjemahkan segala rasa pedih rakyat, segala kesengsaraan rakyat hari ini akibat penipuan-penipuan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Yang paling penting kita sudah bersedia untuk kembali mengambil alih Putrajaya dengan rakan-rakan kita daripada BN dan PAS.”

“Mudah-mudahan rakyat memberikan komitmen dan sokongan berterusan, BN akan memastikan menjadi kerajaan yang lebih baik dari dulu dan lebih baik daripada PH hari ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.