Kerjasama Muafakat Nasional Berkesan Di Tanjung Piai – Abdullah Hussin

TANJUNG PIAI, 17 Nov – Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin menganggap kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah kejayaan Muafakat Nasional dan berharap ia akan terus dipertingkat untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Katanya, ini sebagai ujian yang pertama selepas dimeterai Piagam Muafakat Nasional.

“Kemenangan BN melalui calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan raya Kecil (PRK) Tanjung Piai ini bagi saya merupakan suatu terjemahan dari Piagam Muafakat Nasional yang di meterai pada 14 September lalu.

“Walaupun gambaran awal menunjukkan PAS dan UMNO, tetapi kita memberi laluan kepada MCA bertanding dengan sendirinya telah memperlihatkan skop paling luas dan terbuka Non Muslim bersama-sama dengan Muslim dalam Piagam Muafakat Nasional,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Justeru, ini satu terjemahan daripada perjanjian tersebut dan sebagai petunjuk kepada PRU-15.

“Ini satu signal yang jelas. Kita yakin menang dan kita rasa boleh menang dan terkejut dengan kemenangan yang besar pada PRK Tanjung Piai ini.”

Menurut beliau lagi, ini peluang kebangkitan rakyat kembali setelah sedar dengan penipuan-penipuan dan janji-janji yang tidak ditunaikan dan sebagainya.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Wee kerana telah berjaya dan juga BN.

“Kita berhasrat untuk memantapkan lagi Penyatuan Ummah dan juga Muafakat Nasional untuk semua agama, bangsa dan rakyat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.