Kemenangan Di PRK Tg. Piai Bukti Kejayaan Muafakat Nasional, Tolak Politik Perkauman

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jack Seng dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuktikan kejayaan Muafakat Nasional, kata Mahasiswa UMNO Malaysia, Muhammad Zafir Mohd Saman

Ujarnya, pada 31 Oktober yang lalu, keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan BN meletakkan calon daripada MCA telah mengundang banyak persepsi dan komen bercampur daripada pelbagai pihak.

“Namun, melihat daripada satu perspektif yang berbeza Mahasiswa UMNO menyatakan sokongan penuh terhadap calon Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, daripada MCA kerana kita melihat keputusan ini sebagai satu simbolik bahawa penyatuan antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional bersifat inklusif, tidak rasis tetapi kita meraikan kepelbagaian kaum lain dalam menghormati prinsip bernegara di sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

“Langkah ini ternyata diterima baik, oleh semua kaum apabila diterjemahkan oleh para pengundi di PRK P165 Tanjung Piai dengan kemenangan besar calon BN pada kali ini. Ternyata acuan dan ramuan yang digunapakai pada kali ini sangat berkesan,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, ini bukan sekadar mesej kepada Putrajaya bahawa rakyat menolak segala bentuk pembohongan kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun lebih besar daripada itu ini adalah mesej penolakan politik perkauman, rasis dan cauvinis yang dipromosikan oleh PH.

“Semoga Malaysia terus aman dan makmur dan semoga Muafakat Nasional ini mampu menjadi asbab dan titik perubahan kepada seluruh rakyat Malaysia agar lebih bersatu padu pada masa yang akan datang.

“Tahniah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh pimpinan BN yang berani mengambil keputusan ini dan tahniah Muafakat Nasional. Ingat kemenangan di PRK Tanjung Piai ini merupakan kemenangan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.