Jangan Sampai Kita Alpa, Sombong, Angkuh Dek Kemenangan Besar – Dr. Asyraf

 

BENTONG, 17 Nov – “Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai janganlah menjadikan kita alpa, sombong dan angkuh. Ini adalah satu peringatan bahawa perjuangan baru bermula untuk kita kembali bangkit,” ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas beliau, suara rakyat di Tanjung Piai mewakili rakyat seluruh negara yang mahukan BN kembali ke Putrajaya selepas mereka dapat melihat dengan jelas bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal menjadi kerajaan yang baik.

“Justeru kita perlu bersedia dari semua aspek… kembali menjiwai roh perjuangan. Walaupun UMNO telah banyak berjasa namun ditakdirkan kita kalah tetapi sebenarnya inilah hikmah yang Allah mahu berikan iaitu terwujudnya Skuad Sabil untuk kita mencanai kembali roh perjuangan.

“Skuad Sabil ini adalah sukarelawan… sifatnya sukarela, bukan dipaksa. Sebab itu cogan kata UMNO ‘Bersatu-Bersetia-Berkhidmat’ cukup sebati dalam perjuangan UMNO dulu. Jadi, saya harap ia boleh menjadi satu platform yang boleh membina kembali roh, jiwa dan idealisme dalam UMNO untuk kita memartabatkan, memelihara agama, bangsa dan rakyat secara keseluruhan,” ujar beliau ketika berucap dalam program penutup Skuad Sabil siri 4/2019 di ILMU, Kampung Janda Baik. hari ini.

Untuk rekod, nama skuad ini diinspirasikan daripada perkataan Sabil yang digarapkan daripada ilmu Fekah yang bermaksud ‘Setiap perkara yang diperintahkan ALLAH daripada kebaikan, kebiasaan penggunaannya pada jihad di jalan ALLAH’.

Maka, perkataan Sabil dapat diertikan sebagai apa sahaja amal kebajikan dan kebaikan yang memberi manfaat kepada ummah serta memperoleh keredaan ALLAH SWT dan Skuad Sabil pula sebagai pasukan yang melakukan kebaikan dan kebajikan buat ummah serta mengharapkan keredaan ALLAH SWT.

Skuad ini dianggotai oleh anak-anak muda UMNO Malaysia secara sukarela dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dalam masyarakat. Mereka juga bersedia pada bila-bila masa untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat sewaktu ditimpa bencana dan musibah serta sebagai anggota keselamatan dan kesejahteraan khas buat para pemimpin dan peserta di dalam program-program himpunan rakyat.

Skuad ini diwujudkan secara bertanzim dan bersistem di mana ia membolehkan peserta tidak sahaja mampu untuk mencurahkan khidmat bakti namun turut melatih mereka untuk bekerja secara sistematik, berkumpulan dan terancang. Ia juga merupakan satu platform baharu bagi para sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia untuk mendalami ilmu berorganisasi dan berpasukan.

Platform ini dijangka dapat melahirkan para pemuda matang yang sentiasa meletakkan kebajikan dan manfaat kepada masyarakat sebagai keutamaan.

Bagi memberikan sumbangan yang lebih banyak kepada masyarakat maka skuad ini diwujudkan dengan modul-modul serta pengisian yang terancang.

Pengisian tidak sahaja mengambil kira pembentukan jasmani berdaya tahan tetapi juga roh dan idealisme mantap berdasarkan teras Islam sebagai Ad-Din, tunjang dan paksinya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.