Tidak Rasmi PRK Tanjung Piai: BN Mendahului Majoriti Lebih 10 Ribu Undi

TANJUNG PIAI, 16 Nov – Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional (BN) mendahului dengan majoriti melebihi 10 ribu undi.

Ini secara tidak langsung mengesahkan kemenangan BN kerana PH sudah pasti tidak akan mampu mengejar lagi.

Setakat pukul 8.15 malam ini, keputusan masih lagi dikira di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dan keputusan penuh dijangka bakal diumum pada pukul 10.00 malam ini.

PRK ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck, Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,471 pengundi biasa.

Selasa lepas, 91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis telah pun melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); Parlimen Cameron Highlands (26 Jan 2019) DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.