Proses Pengundian Bermula, Hari Penentuan PRK Tg Piai

TANJUNG PIAI, 16 Nov – Hari ini menjadi penentuan parti manakah yang akan menjadi pilihan rakyat Tanjung Piai apabila pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi, setelah lima belas hari berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan tersebut.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung proses demokrasi, adalah diharapkan proses pengundian berjalan lancar, aman dan penuh harmoni, tidak dicemari unsur-unsur provokasi dari pihak-pihak yang berkepentingan.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dijangka akan mengundi pada pukul 8 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming Pekan Nenas, di sini.

PRK Tanjung Piai melibatkan enam penjuru, selain Dr Wee dari BN, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Karmaine Sardini dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Gerakan Wendy Subramaniam dan Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Turut bertanding dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Dr Wee juga merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet BN.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Seramai 52,986 orang pengundi akan terlibat proses demokrasi tersebut, yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara) berdasarkan Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September.

Hari ini, sebanyak 27 pusat mengundi dibuka dengan 125 saluran disediakan bagi memudahkan proses pengundian.

Pusat pengundian ditutup pada jam 5.30 petang.

Selasa lalu, 12 Nov sebanyak 91 peratus daripada 280 pengundi awal menunaikan hak mereka di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini.

Pusat Pengundian Awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.