PRK Tg Piai: Kekalkan Momentum Demi Kemenangan BN

TANJUNG PIAI, 16 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan bersyukur proses pengundian berjalan lancar dan berharap jentera parti terus kekalkan momentum bagi mengeluarkan pengundi-pengundi terutama pengundi putih.

Katanya, ini berdasarkan peratusan yang keluar setakat jam 10 pagi tadi sudah melebihi 25 peratus.

“Alhamdulillah nampaknya proses mengundi pada pagi ini berjalan dengan baik walaupun ada sesetengah tempat ada kesesakan lalu lintas, memang menjadi masalah.

“Peratusan keluar mengundi setakat pukul 10 pagi dah melebihi 25 peratus. Ini satu peratusan yang baik kalau kita melihat kepada pilihan raya kecil (PRK) yang lalu.

“Jadi saya berharap supaya pengundi-pengundi akan keluar mengundi sebelum tengahari kerana petang takut hujan dan jangan lupa undi BN,” ujarnya kepada UMNO Online ketika ditemui di pejabat parti di Pusat Daerah Mengundi Penerok.

Hari ini, sebanyak 27 pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi dengan 125 saluran disediakan bagi memudahkan proses pengundian dan ditutup pada jam 5.30 petang.

Seramai 52,986 orang pengundi akan terlibat proses demokrasi tersebut, yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara) berdasarkan Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September.

Selasa lalu, 12 Nov sebanyak 91 peratus daripada 280 pengundi awal menunaikan hak mereka di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini.

Manakala bagi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang ditemui juga di Penerok bersyukur segala perancangan parti berjalan dengan lancar dan mengikut sepertimana yang direncanakan.

“Alhamdulillah, kita lihat sepanjang hari mengundi hari ini hingga ke pukul 11 pagi tadi jentera kita dapat berjalan sebagaimana yang kita rancang dan pengundi putih yang kita sasarkan nampaknya dapat dikeluarkan mengikut apa yang kita harapkan.

“Cuma saya harapkan jentera parti akan terus bekerja bagi membolehkan kita keluarkan semua pengundi putih yang kita sasarkan untuk membolehkan kita capai ‘target’ yang kita inginkan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua jentera negeri, bahagian dan juga Tanjung Piai yang nampaknya semangat tinggi dan kita harap kita dapat merampas kembali kerusi P165 Tanjung Piai,” katanya.

Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong juga berharap BN mencapai kemenangan dan seterusnya mampu mengubah landskap politik negara.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga pengundi, tiba pada pukul 7.40 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 dan 2 di Pekan Nanas.

Beliau yang mengundi di Saluran 4 dan isterinya, Datin Seri Lim Joo Hon (Saluran 6) selesai mengundi pada pukul 8.10 pagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.