Pengundi Dinafi Hak Mengundi: SPR Perlu Segera Bertindak
PONTIAN, 16 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar segera bertindak ke atas laporan polis yang telah dibuat oleh tiga penduduk di SK Sungai Boh dan SMK Seri Kukup yang dinafikan hak mereka untuk mengundi pagi tadi.
Jelas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, nama-nama mereka telah didapati dipotong walaupun mereka belum pun lagi mengundi.
“Walaupun ditunjukkan bukti bahawa jari mereka masih bersih dan tiada kesan dakwat, namun SPR mengatakan bahawa sudah ada yang mengundi atas nama mereka.
“Jika terbukti laporan mereka ini benar, maka berkemungkinan berlaku aktiviti penyamaran dalam PRK kali ini yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.”
Justeru katanya, dengan masa berbaki sejam lagi, Pemuda UMNO mendesak agar SPR melakukan tindakan segera untuk menangani isu ini.
“Hal ini telah pun saya adukan secara terus kepada Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun yang berkebetulan makan tengahari di restoran yang sama dengan kami tengahari tadi,” katanya lagi. – UMNO ONLINE