Kemenangan BN Kemenangan Rakyat, Mercu Tanda Muafakat Nasional

PONTIAN, 16 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan BN di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah kemenangan rakyat.

Ia juga katanya, merupakan satu isyarat yang jelas diberikan oleh rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga sebagai mercu tanda Muafakat Nasional.

“Saya merasakan kemenangan ini adalah kemenangan rakyat. Ia adalah suatu signal yang cukup jelas bahawa rakyat yang selama ini tidak dipedulikan mengikut janji-janji yang telah dilontarkan oleh mereka (PH), memperlihatkan protesnya kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

“Maka tentunya ia menjadi mercu tanda bahawa Muafakat Nasional dengan rakan-rakan yang ada di dalam parti BN dan insyaAllah parti-parti lain di Sabah dan Sarawak, ia memperlihatkan komitmen semua pihak hingga memberikan kejayaan,” ujarnya kepada media sebaik pengumuman keputusan PRK Tanjung Piai, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

BN merampas kerusi kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi pertembungan enam penjuru dengan majoriti 15,086 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi.

Berhubung dengan majoriti besar yang diperolehi BN, Dr Ahmad Zahid berkata ia adalah di luar jangkaan dan juga bermakna rakyat telah kembali kepada BN.

“Majoriti 15,086 adalah kejayaan luar jangkaan dan bagi kami ia adalah satu anugerah dari Allah SWT kerana semua parti telah berusaha, berdoa dan yang penting ia adalah satu keputusan yang telah dimuktamadkan oleh rakyat. Ertinya rakyat kembali bersama-sama dengan BN.

“Peningkatan tentunya datang dari pengundi-pengundi Cina di mana 42 peratus di Tanjung Piai ini adalah pengundi berketurunan Cina dan ini merupakan satu bukti bahawa pengundi Cina telah kembali memberikan dokongan kepada BN.

“Dan tentunya ia adalah satu signal untuk rakan-rakan dalam parti-parti komponen sesungguhnya BN adalah parti yang relevan apatah lagi PAS dalam Muafakat Nasional lebih merelevankan lagi kerjasama dalam kumpulan parti pembangkang di negara ini,” jelasnya.

Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memanjatkan kesyukuran di atas kemenangan mutlak tersebut.

“Alhamdulillah bagi pihak Muafakat Nasional, BN, UMNO khususnya MCA kami ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT di atas kemenangan mutlak Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti yang amat memberikan semangat yang memberangsangkan kepada kami.

“Dan PRK Tanjung Piai ini cukup penting buat Muafakat Nasional, BN khususnya MCA dan parti-parti lain seperti PAS, MIC dan rakan-rakan BN.

“Kita merasakan ini adalah suatu referendum kecil ke arah usaha BN dan Muafakat Nasional dan parti-parti sahabat untuk menuju ke Putrajaya,” tambahnya lagi.

Selain itu, Dr Ahmad Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera baik dari kepimpinan tertinggi parti termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, negeri-negeri khususnya Johor hinggalah ke peringkat akar umbi yang telah bersama-sama merealisasikan kemenangan.

“Secara peribadi saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wee Jeck Seng Ahli Parlimen Tanjung Piai. Tahniah juga kepada MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan juga kepimpinan yang lain-lain terutamanya kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS dan jajaran kepimpinannya yang telah memperlihatkan komitmen luar biasa,” katanya lagi.

Dalam sidang media yang sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kesatuan yang wujud dalam parti komponen dan Muafakat Nasional telah membawa hasil kemenangan yang cukup membanggakan.

“Ini adalah satu mesej yang cukup jelas kerana dengan adanya kerjasama semua parti yang ada, saya yakin momentum ini dapat kita kekalkan dan semangat musyarawah, setiakawan dapat diteruskan.

“Ini semangat yang luas biasa dan saya nampak kita tidak kira parti apa yang bertanding dan oleh kerana kita mempunyai agenda yang satu iaitu membantu rakyat dan memperjuangkan rakyat,” jelasnya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan pengundi Tanjung Piai.

Manakala bagi Ahli Parlimen Tanjung Piai yang baru dinobatkan, Dr Wee selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berkerja keras sehingga BN mencapai kemenangan, beliau juga berterima kasih kepada pengundi-pengundi dan akan memberikan komitmen bagi melaksanakan pelbagai program demi rakyat di kawasannya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.