Rejim PH Banyak Menyusahkan… Rakyat Gelisah, Gundah-gulana – Mohamad


TANJUNG PIAI, 15 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan merasa kecewa terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang telah memerintah negara ini selama setahun lapan bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, inilah yang pertama kalinya rakyat merasa gelisah dan gundah-gulana terhadap kerajaan PH yang semakin hari keadaan politik negara tidak stabil.

“Dah 18 bulan PH menang PRU tapi tak buat apa-apa dan tak ada langsung idea mengurus negara. Uruslah negara dan jangan asyik mengatakan BN tak buat apa-apa.

“Tiada satu benda yang dapat dilihat yang menyedap dan menyenangkan hati kita. Setiap apa yang keluar dari jemaah Menteri PH semuanya menyakitkan hati, menyebabkan rakyat resah gelisah serta keadaan politik tanah air amat tidak menentu sekarang ini.

“Selepas PRU ke-14 keadaannya amat tidak menentu sekali. Kepimpinan kerajaan PH tidak nampak hala tuju langsung untuk membangunkan negara untuk keadaan yang lebih baik sebagaimana yang mereka janjikan. Katanya, Malaysia Baharu dan mahu membawa Malaysia yang lebih telus, terbuka serta mengamalkan undang-undang ke atas keluhuran perlembagaan tapi nampaknya tak ada,” katanya dalam majlis Muafakat Nasional Penyatuan Ummah di Kampung Sawah, Khamis malam.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Penasihat UMNO, YM Tengku Razaleigh Hamzah; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi PAS Johor, Abdullah Husin; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah; Sekteriat Penyatuan Ummah Muafakat Nasional, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; kepimpinan UMNO, PAS, Makkal Sakti, Kimma dan juga masyarakat setempat..

Dalam pada itu, Mohamad turut mempertikaikan tentang ‘permit’ semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

“Perkara kecil ketika berkempen di Tanjung Piai ini apabila BN hendak berkempen dari rumah ke rumah pun kena mengambil ‘permit’. Jentera BN tidak boleh pergi hendak menghantar ‘handbill’.

“Pedulikanlah… kalau kita terpaksa mengambil permit untuk pergi rumah ke rumah memang kerajaan sekarang ini dah tak siuman lagi … dan memang takut nak kalah.

“Saya tak tahulah apa undang-undang yang telah mereka letakkan, tapi Alhamdulillah… hari ini Peguam Negara telah menyatakan kesilapan ini.”

Ujarnya, ini menunjukkan betapa ‘hebatnya’ mereka (PH) dan tidak memenuhi atau memungkiri manifestonya serta tidak dapat menguruskan negara dengan baik.

Dalam ceramah ini hampir 12 ribu pengunjung memenuhi padang terbuka di Kampung Sawah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.