Pengundi Tanjung Piai… Inilah Masanya Tunjuk Protes Kerajaan PH – Hasbullah


KUALA LUMPUR, 15 Nov – Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan tamat dan tentunya kuasa untuk memilih dan ‘hakim’ sebenar akan menentukan siapakah calon yang akan menjadi wakil rakyat di parlimen akan diketahui esok malam.

Bagi Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman inilah masa terbaik untuk rakyat menjadi ‘hakim’ kepada kerajaan yang ada hari ini iaitu Pakatan Harapan (PH) dengan membuat penilaian sebenar, apakah kerajaan benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka atau sebaliknya.

Secara jelas beliau memberitahu jika dirinya merupakan pengundi di kawasan terbabit, sudah tentu PRK berkenaan akan menjadi medan terbaik dalam menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan hari ini atau dalam kata lainnya protes.

“Saya tidak memperkecilkan calon PH dan calon-calon lain… tetapi saya percaya dalam pemikiran pengundi-pengundi di Tanjung Piai, mereka akan meluahkan perasaan baik orang Melayu, baik orang Cina, baik orang India dan sebagainya lagi yang terasa dengan kesempitan yang ada.

“Maka terserahlah kepada pengundi-pengundi tetapi kalau saya sebagai pengundi di Tanjung Piai saya akan meluahkan perasaan bukan kerana soal nak memilih kerajaan tetapi cara pengurusan kerajaan pada hari ini membebankan rakyat yang berpendapatan rendah terutamanya,” katanya kepada UMNO-Online.

Malam ini tepat jam 12 malam maka akan tamatlah tempoh berkempen PRK Parlimen Tanjung Piai dan pengundi akan melunaskan tanggungjawab mereka dalam memilih wakil rakyat pada hari Sabtu (16 November).

Hasbullah seterusnya menaruh keyakinan kesempitan yang dirasai hari ini oleh rakyat pelbagai peringkat sudah semestinya akan memberi kesan dan akan menjadi salah satu pertimbangan kepada pengundi dalam membuat pilihan esok.

“Kalau zaman BN dahulu direka-reka dan dibuat fitnah tetapi pada hari ini benar-benar dirasai orang luar bandar terutamanya merasai kesempitan. Bantuan-bantuan yang dikecilkan, kebajikan masyarakat dulu dapat dan hari ini ada pula yang tak dapat, walaupun pada zaman BN pun saya tidak kata 100 peratus bagus tetapi sedikit sebanyak rakyat dapat membuat perbandingan. Masa PRK inilah rakyat boleh luahkan perasaan.

“Dan macam yang saya katakan tadi, kalau saya pengundi di Tanjung Piai, saya akan menunjukkan rasa tidak puas hati saya dengan memberi undi kepada BN… walaupun bukan BN yang akan jadi kerajaan tetapi sekurang-kurangnya tanda protes pengundi dan apakah langkah-langkah jangka panjangnya kerajaan PH untuk memastikan dapat membantu rakyat khususnya kalangan B40 dan sebagainya lagi,” tambahnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia melibatkan pertandingan enam penjuru antara calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon PH Karmaine Sardini; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.  – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.