Kesilapan Kerajaan PH Apabila Anggap Rakyat Mudah Ditipu – Dr Shamsul

TANJUNG PIAI, 15 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kesilapan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila menganggap rakyat mudah dibohongi dengan alasan yang tidak munasabah.

Justeru beliau mengingatkan Kerajaan PH bahawa rakyat kini bijak dan mereka boleh membuat penilaian.

Jelasnya lagi bukan semua yang disebut oleh pemimpin PH akan diterima oleh rakyat.

“Biarpun berulangkali mereka menggunakan naratif, 60 tahun negara dirosakkan UMNO Barisan Nasional (BN), namun realitinya ia tidak mudah diterima rakyat.

“Rakyat tahu, walaupun mungkin ada kelemahan namun pelbagai pembangunan; ekonomi, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya telah dilakukan oleh UMNO BN sejak BN memerintah negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program taqarrub di Kampung Sg Buntu, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Penerok di sini, Jumaat.

Hakikatnya jelas Dr Shamsul Anuar sangat jelas daripada Malaysia sebuah negara mundur, BN berjaya meletakkan negara ini setanding dengan pelbagai negara.

“Malah ada bidang tertentu kita menandingi negara maju yang lain. Semua ini diketahui rakyat. Dan hasil usaha UMNO BN ramai anak Malaysia kita menjadi jurutera, doktor, ahli farmasi, ahli perniagaan, arkitek dan berjaya dalam pelbagai bidang profesional lain.

“Kerana itu, apabila pimpinan PH memberi alasan bahawa mereka perlu masa untuk tunaikan janji kerana perlu perbaiki 60 tahun kerosakan yang UMNO BN tinggalkan ianya tidak boleh diterima,” ujarnya.

Apa yang berlaku tegas beliau seolah-olah pimpinan Kerajaan PH, menganggap rakyat mudah dibohongi dengan alasan yang tidak munasabah.

“Sedangkan, rakyat tahu bahawa banyak perkara yang dijanjikan dalam manifesto umpamanya, hapuskan tol, menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) menyiasat FELDA, Tabung Haji, bayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di tangga gaji RM4,000, royalti minyak 20 % pada negeri pengeluar minyak dan banyak lagi boleh dilakukan oleh Kerajaan PH tanpa menunggu lima tahun jika mereka mahu.

“Kenapa Kerajaan PH tidak mampu laksanakan? Ini kerana mereka tahu janji yang dibuat itu akan merugikan serta membebankan Kerajaan PH,” katanya.

Justeru jelas beliau apabila mereka menjadi kerajaan baru mereka tahu keadaan sebenar namun mereka tetap menyalahkan Kerajaan BN kononnya telah melakukan pelbagai kerosakan apabila gagal menunaikan janji.

“Kesilapan Kerajaan PH ialah apabila mereka ingat rakyat tidak tahu semua ini. Justeru itu, saya minta rakyat di Tanjung Piai menolak calon Pakatan Harapan dan parti lain dalam pilihan raya kecil ini. Dan kita undi calon BN yang diwakili oleh parti MCA.

“Jangan bimbang jika kerajaan berkata jika undi calon BN, pembangunan dan bantuan sukar dilakukan di Tanjung Piai. Ini kerana membangunkan negara dan memberi bantuan kepada rakyat adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan. Sebagai rakyat kita berhak mendapat pembangunan dan bantuan kerajaan,” ujarnya.

Apatah lagi tambah beliau wang yang digunakan untuk pembangunan dan memberi bantuan kepada rakyat bukan wang parti Pakatan Harapan.

“Itu wang rakyat, dan wang kerajaan. Pakatan Harapan hanya diberikan mandat menguruskannya sahaja. Sebagai rakyat tanpa mengira parti kita berhak menerimanya,” jelas beliau. –UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.