UMNO Kedah Bakal Fail Injuksi Halang SPRM Sita Wang Parti


ALOR SETAR, 14 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, UMNO negeri itu akan menfailkan injuksi di mahkamah bagi menghalang penyitaan wang parti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas beliau, UMNO Kedah sedia untuk berdepan dengan apa juga keputusan mahkamah dan akan terus menuntut hak parti.

“SPRM telah pun mengeluarkan notis sitaan terhadap duit yang dirampas itu dan atas sebab itulah UMNO Kedah akan failkan unjuksi di mahkamah.

“Untuk makluman, wang yang diterima daripada Presiden parti ketika itu adalah dana politik dan dana politik dibenarkan mengikut undang-undang. Tiada bukti ditunjukkan oleh pihak pendakwaan yang membuktikan bahawa terdapat dana yang diterima daripada sumber haram.

“Lagi pun duit yang dirampas oleh SPRM bukan daripada ‘money trail Tanore 2012 & 2013’,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Suraya, rampasan yang dilakukan oleh SPRM baru-baru ini adalah daripada sumber lain iaitu daripada sumbangan pihak luar sepanjang tahun 2017 dan 2018 dan ia tidak ada kaitan untuk pendakwaan mengaitkan baki wang dengan kegiatan haram.

“Justeru itu, UMNO akan lawan dan akan membela diri di mahkamah dengan barisan peguam-peguam yang akan mewakili parti di mahkamah.

“Kita akan terus menumpukan perhatian untuk membersihkan nama parti melalui proses perundangan mahkamah,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.