Tuntut Hak Kita, Jangan Biar PH Perbodohkan Rakyat – Wee Jeck Seng


TANJUNG PIAI, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempermainkan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan tersebut.

Katanya, dalam satu keadaan PH memotong pelbagai bantuan atas alasan ketiadaan dana tetapi dalam tempoh sebulan ini sahaja berjuta peruntukan ditaburkan semata-mata kerana adanya PRK.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) kata kalau menang kerusi ini atau kalah tidak menjadi masalah… memang tidak menjadi masalah baginya sebab dia tetap jadi kerajaan.

“Tetapi bagi kita lain. Lihatlah mereka kata kerajaan tidak ada wang tetapi sebulan ini berjuta-juta dia tabur wang. Kita sebagai pengundi ada hak.

“Kita bangkit tuntut di Parlimen… tidak boleh mereka buat begitu sahaja. Itu penting, itu hak kita, kita tidak boleh diperbodoh-bodohkan dan tidak mahu ia berlaku,” tegasnya ketika berucap di program ceramah umum di Tanjong Ayer Hitam, di sini Rabu malam.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husain; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Presiden Veteran MAYC Kebangsaan, Datuk Nasir Safar.

Sebelum itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian turut hadir menyampaikan ceramah.

Dalam ucapannya juga, Dr Wee menggesa kerajaan PH agar lebih bertanggungjawab dalam membela nasib rakyat ketikamana banyak insentif seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dahulunya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipotong.

“Sudah setahun lebih kerajaan PH ini dahulu mereka kata mahu membela nasib kita, orang-orang kampung.

“Kalau secara perbandingan dahulu kerajaan BN memang bela nasib orang kampung banyak program seperti BR1M, bantuan JKM dan insentif-insentif lain.

“Tapi saya tak faham kerajaan baru ini yang kata akan bela nasib kita tapi dia tak pandang kita pun. Itu sebab saya kata mereka tak tahu erti apa itu kesusahan rakyat,” tambahnya lagi.

Justeru katanya, rakyat mesti bersama-sama bangkit merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan PH bahawa warga parlimen ini tidak puas hati dengan apa yang telah PH lalukan.

Penolakan rakyat terhadap PH juga katanya menjadi isyarat bahawa rakyat tidak lagi mahu ditipu oleh PH di samping kegagalan menunaikan janji serta sering membuat polisi pusingan-U. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.