‘Walkabout’ Kenapa Perlu Permit? – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mempersoalkan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewajibkan permit untuk program ‘walkabout’.

Katanya, langkah SPR mewajibkan permit untuk program ‘walkabout’ sangat luarbiasa.

“Sudah banyak kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil dilaksanakan di negara ini, tidak pernah peraturan seumpama ini dilaksanakan. Apakah Kerajaan Pakatan Harapan (PH), bimbang dengan keberkesanan program ‘walkabout’ BN?” soal beliau dalam kenyataan ringkas yang disiarkan menerusi laman Facebook beliau.

Justeru katanya, beliau meminta SPR mengkaji semula dan membatalkan peraturan ini.

“Program ‘walkabout’ tidak perlulah dikenakan permit,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan semua parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bahawa kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Ini termasuklah program ‘walkabout’ yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

PRK Tanjung Piai yang masih dalam tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 16 Nov ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

PRK ini melibatkan pertandingan enam penjuru antara calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon PH Karmaine Sardini; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79