PH Canang Malaysia Baru Tapi Yang Jadi Malaysia Haru Biru


TANJUNG PIAI, 13 Nov- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tawaran Malaysia Baru oleh Pakatan Harapan (PH) hanya menjadikan negara penuh dengan haru-biru berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang memerintah dengan menterjemahkan rakyat dalam kehidupan aman harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Katanya, setiap kaum ada hak dalam perlembagaan dan juga ada tanggungjawab masing-masing untuk memelihara negara ini kerana negara ini milik semua.

“Kita menghormati semua kaum dan agama, bangsa teras Melayu Bumiputera, induknya Islam tetapi semua agama kita hormati. Semua kaum berhak mempertahankan hak mereka dan jangan cuba usik hak masing-masing. Inilah ikatan dalam perlembagaan.

“Tak timbul kita memperjudikan hak masing-masing… tak pernah… UMNO tak pernah cabar mengambil hak orang lain, orang Cina pun tak pernah mencabar sebelum ini.

“Apabila Pakatan PH menjadi kerajaan dan mencanang-canangkan seantero Malaysia nak menjadikan Malaysia Baru konon… rupa-rupanya haru-biru. Kita nak selamatkan negara ini, kita sayangkan Malaysia tetapi bukan Malaysia Baru yang haru-biru tetapi Malaysia dengan acuannya yang asal,” katanya dalam ceramah pada Pentas Pemuda Bangkit Kembali di ‘port’ Orang Muda Johor Jalan Kampung Parit Pasir malam tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Nicole Wong; Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R. Thinalan; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pesuruh Jaya PAS Johor, Abdullah Husain dan calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Sebelum itu Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, menegaskan keharmonian negara pasti akan diuji dan ujian yang pertama berlaku pada tahun 1969.

Tambahnya, keharmonian yang dibina selama ini tergugat dengan pentadbiran Malaysia Baru yang memainkan perkara-perkara bersifat rasis.

“Bila rakyat dah beri kamu peluang, rakyat cuba menerima risiko baru iaitu mengubah kerajaan yang memimpin selama 61 tahun, gunakanlah sebaik-baiknya memerintah… tetapi apa yang dilakukan sekarang adalah merosakkan keharmonian negara.

“Apabila berlaku keadaan yang tidak tenteram maka inilah peluang anasir-anasir dari luar masuk mentadbir dan menjajah negara ini.”

Justeru katanya, sekiranya berlaku keadaan yang tidak tenteram maka akan terjadi pergolakan antara kaum yang kritikal dan akan menyebabkan negara ini hancur.

“PAS mengambil satu keputusan yang sangat penting khususnya untuk keharmonian dan kesejahteraan rakyat untuk bersama dengan BN.

“Walaupun warna kulit kita berbeza dan datangnya dari bangsa dan agama berbeza tetapi kita mempunyai satu perkara iaitu mahu memperjuangkan anak muda, segala hak anak muda mesti didapati dalam keadaan aman… Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Terdahulu Pentas Pemuda Bangkit Kembali turut dihiburkan oleh kumpulan buskers, orkestra serta pelakon dan pelawak terkenal, Shahrol Azizie atau dikenali sebagai Shahrol Shiro. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.