Perkasakan Muafakat Nasional Untuk Tolak Agenda Malaysian Malaysia, Malaysia Baru


TANJUNG PIAI, 13 Nov – Pakatan Harapan (PH) setelah menjadi kerajaan lebih memberi fokus kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya menjadi keutamaan dan penting, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mereka kata Khaled, dilihat tidak menguruskan ekonomi negara dengan baik, tetapi tampil dengan pelbagai perancangan yang melahirkan perasaan resah, kecewa dan ketidakpuasan hati rakyat khususnya orang-orang Melayu.

“Dalam Malaysia Baru ini kita dapat lihat ada usaha terancang nak menghapuskan identiti orang Melayu dan sistem nilai bangsa kita yang berasaskan kepada ajaran Al-Quran.

“Kita juga melihat mereka seolah-olah hendak mencairkan keabsahan orang-orang Melayu, tamadun Melayu sebelum merdeka dan sejarah kesultanan hendak diputuskan.

“Kita dapat lihat bagaimana perlembagaan dicabul, mereka memperjuangkan agenda liberal. Apa perasaan kita? Perasaan orang Melayu gundah-gulana, resah, bimbang dan tak puas hati,” katanya dalam ceramah umum di Kampung Sri Bunian, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayon, di sini Selasa malam.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga ahli Parlimen Pontian dan Jurucakap MCA, Mike Chong.

Jelas Khaled lagi, jawapan bagi menolak agenda Malaysia Baru itu adalah dengan memperkukuhkan kembali kuasa politik orang Melayu.

“Jadi jawapan kita dalam berhadapan dengan soal ini ialah dengan UMNO PAS bersetuju henti persengketaan antara kedua-dua parti, sebab cabaran lebih besar kalau tak jaga soal Melayu, Islam akan terjejas.

“Atas sebab itulah kita bersetuju mengenepikan segala perselisihan supaya dapat membina kekuatan kuasa politik Melayu yang boleh melindungi agama Islam.

“Dan itulah tunggak pertama Muafakat Nasional iaitu penyatuan ummah. Kita pastikan kesucian agama Islam, kelangsungan bahasa dan budaya, pasakkan bahawa negara majmuk ini dikemudikan oleh bangsa teras,” tambahnya.

Ulas bekas Menteri Besar Johor itu lagi, dengan memahami realiti kemajmukan masyarakat, penglibatan kaum-kaum lain adalah amat penting.

“Dalam kita kuat, mengakui negara ini masyarakat majmuk kita ajak semua yang berkepentingan termasuklah orang Cina, India bersama membangunkan dan menjayakan negara, lahirnya tunggak kedua.

“Kita tidak rasis, amalkan sikap toleran, tunjukkan agama Islam itu adil tidak pisah-memisahkan sesiapa. Kita boleh mempersembahkan keindahan Islam di nusantara Tanah Melayu ini.

“Tak cukup dengan penerimaan orang Melayu, kita mesti dapatkan orang bukan Melayu faham, terima dan sokong. Jadi apabila kita ambil calon MCA sebagai calon dia akan cakap mengenai Muafakat Nasional, maka Muafakat Nasional itu akan disebarkan di kalangan bukan Melayu,” ujarnya lagi.

Oleh kerana itulah katanya jika Muafakat Nasional tidak dijayakan, Malaysia Malaysia dan Malaysia Baru akan terus dilaksanakan oleh PH.

“Hari ini dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, produk Barisan Nasional (BN) adalah Muafakat Nasional.

“Sebelah sana Malaysian Malaysia, Malaysia Baru di mana Perkara 153 akan dilanggar,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Khaled juga menyeru kepada pengundi di Tanjung Piai agar pasangkan niat kalahkan PH dengan memenangkan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.