Muafakat Nasional Lembaran Baru Untuk Rakyat Setelah Tertipu Janji PH

TANJUNG PIAI, 13 Nov – Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong menganggap Muafakat Nasional adalah lembaran baru kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini telah ditipu oleh Pakatan Harapan (PH) setelah mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, konsep Muafakat Nasional jelas ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat kerana dianggap mampu mempertahan dan memelihara kepentingan kaum-kaum lain dalam negara ini berbanding dengan pelbagai dasar serta tindakan dalan kerajaan PH.

“Saya yakin dengan konsep Muafakat Nasional ini akan membawa kita bersama ke arah masa depan yang lebih baik. Ini adalah soal masa hadapan negara dan rakyat Malaysia biarpun dipelopori oleh UMNO dan PAS namun hala tujunya untuk keseluruhan yang lebih baik berbanding hari ini.

“Sebelum PRU-14, PH telah menjanjikan bermacam-macam perkara seperti menghapuskan ‘Goods and Service Tax’ (GST), hapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dihapuskan, kos barang-barang akan diturunkan dan harga minyak dikurangkan.

“Tetapi semuanya tidak berlaku dan apa yang terjadi sekarang kerajaan PH telah mengelirukan rakyat,” katanya dalam ceramah pada Pentas Pemuda Bangkit Kembali di ‘port’ Orang Muda Johor Jalan Kampung Parit Pasir malam tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R. Thinalan; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husain dan calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Sementara itu Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R.Thinalan menjelaskan rakyat akan menjatuhkan PH pada PRU akan datang ekoran pelbagai janji yang gagal ditunaikan.

Katanya, PH tetap terus bersandiwara dan gagal menunaikan segala janji-janjinya dan rakyat kini sedar bahawa mereka telah diberi harapan palsu.

“Segala janji-janji dalam manifesto PH tidak dapat ditunaikannya sehingga sekarang.

“Apabila gelombang biru dan hijau berpadu, maka inilah dikatakan Muafakat Nasional. Gelombang ini dipenuhi sekitar Parlimen Tanjung Piai dan juga di hati pengundi-pengundi,” katanya.

Jelasnya, sebelum PRU, pihak PH selalu memberikan janji-janji manis dan sehingga kini janji-janji itu tidak dapat ditunaikan oleh mereka.

“Jangan beri lagi undi kepada ‘Pakatan Haprak,’ dalam mana-mana pilihan raya,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.