Apa Relevan SPR Keluar Arahan Baru… Patutnya Tumpu Isu Beri Wang


KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mempersoalkan apakah keperluan dan relevannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan arahan baru agar kempen rumah ke rumah perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad, ini adalah pilihan raya dan tidak sepatutnya SPR tiba-tiba mengeluarkan arahan baru seakan cuba menyekat kebebasan berkempen.

“Tindak tanduk SPR ini amat mendukacitakan. Sepatutnya bukan hal remeh ini yang diketengahkan oleh SPR kerana ada isu pelanggaran akta pilihan raya yang lebih penting untuk SPR jawab seperti isu memberi wang.

“Adakah kerana melihat momentum pilihan raya Tanjung Piai cenderung kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) maka SPR ‘terpaksa’ dan ‘dipaksa’ untuk melakukan sesuatu bagi mengekang situasi ini,” ujar beliau melalui satu kenyataan media, hari ini.

Justeru, Noraini berharap agar SPR bersikap telus dan belajar apa maksud ‘berkecuali’ kerana SPR adalah satu badan bebas yang tidak sepatutnya dipengaruhi mana-mana pihak.

Semalam Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah.

Katanya semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.