PH Gagal Tunai Janji, Rakyat Tg Piai Perlukan Suara Pendesak Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor yakin rakyat Tanjung Piai tidak melihat calon pilihan parti sama ada dari UMNO atau MCA, tetapi yang lebih utama adalah calon yang cukup kuat untuk berkhidmat kepada rakyat, diwakili Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang mewakili semua kaum di Malaysia.

Menurut Ketuanya, Nur Ain A. Rahman, pemilihan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon BN bagi kawasan parlimen tersebut membuktikan BN sebuah parti yang tidak rasis seperti yang dituduh oleh Pakatan Harapan (PH).

“Pergerakan Puteri UMNO pasti rakyat Tanjung Piai tidak kira bangsa dan agama sudah tidak lagi percaya dan terperdaya kepada janji PH.

“Rakyat Tanjung Piai perlu menghantar suara pendesak ke Parlimen demi kebajikan rakyat Tanjung Piai.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor yakin momentum ke arah perubahan dan menolak PH adalah jelas kerana kegagalan mereka menunaikan segala janji,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malam tadi, Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad telah mengumumkan Dr Wee sebagai calon yang akan mewakili parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Parlimen Tanjung Piai, hasil permuafakatan semua pemimpin BN dan Muafakat Nasional.

Ulasnya lagi, Puteri UMNO Negeri Johor menyambut baik dan menyokong penuh Dr Wee sebagai calon BN.

“Seperti kita semua maklum beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai yang sememangnya sangat dikenali dan disegani oleh segenap masyarakat lapisan bangsa di Tanjung Piai.

“Malah semasa menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai beliau telah membukti memberi khidmat terbaik buat seluruh masyarakat,” tambahnya.

Jelas Nur Ain, Puteri UMNO Negeri Johor juga sangat yakin dan percaya MCA telah sangat-sangat bersedia untuk melancarkan serangan dan melangkah seiring bersama UMNO serta parti komponen lain termasuklah rakan baru parti iaitu PAS dalam semangat Muafakat Nasional.

“Bukan hanya memberi cabaran dan tentangan hebat kepada PH tetapi memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai ini.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor (juga) akan menggerakkan seluruh jentera Puteri UMNO bersama-sama dengan jentera pimpinan muda MCA dan komponen lain secara bersepadu, bersekali dan maksimum demi memenangkan calon BN,” tekadnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.