Kerajaan “Pintu Belakang” Hanya Spekulasi, UMNO Hormati Demokrasi – Dr Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 24 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan usaha menubuhkan kerajaan baru ikut “pintu belakang” yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jelas beliau, semua spekulasi itu tidak akan terjadi sekiranya hanya dipersetujui sebelah pihak sahaja.

“Saya yakin dengan sistem demokrasi adalah asas pembentukan kerajaan dan spekulasi tidak menjadi realiti.

“Jika ada kekhuatiran di pihak Pakatan Harapan (PH), jangan khuatir bahawa spekulasi itu tidak akan terjadi jika hanya bertepuk sebelah tangan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan spekulasi mengatakan Ahli Parlimen Sembrong cuba membentuk ‘kerajaan pintu belakang’.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut ditanya dengan spekulasi yang mengatakan bahawa Hishamuddin sedang berusaha menarik sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyertai PH.

“Saya menghormati pandangan dan pendapat peribadi namun pendirian UMNO tetap menghormati kepimpinan dan kerajaan sekarang ini.”

Mengenai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Ahmad Zahid memaklumkan akan mengumumkan kemudian.

“Dengan pertimbangan yang cukup teliti dan seimbang dengan parti-parti komponen BN, bayangannya selepas solat ‘istikarah’ terakhir yang akan saya lakukan.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.