Institusi Diraja Dan Sistem Beraja Relevan – Raja Perlis

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Masih ada sebahagian daripada masyarakat yang menggunakan kemajuan teknologi untuk menyampaikan pandangan-pandangan yang tidak betul secara meluas tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan itu.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah ia termasuk dalam soal yang menyentuh hal-hal negara, terutama yang melibatkan institusi atau Sistem Beraja yang diamalkan negara.

“Mereka tidak memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan itu, meskipun pelbagai tangkapan dibuat, tetapi kes-kes penghinaan terhadap institusi Diraja masih berterusan,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Diraja kali keenam (SiRaj VI) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Turut berkenan hadir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Kewujudan cabaran-cabaran yang kadangkala memperkecil dan memperkotak-katikkan peranan Institusi Diraja telah pun wujud sejak sekian lama dalam sejarah Melayu, tetapi ia masih terus berlaku tanpa mengambil kira peranan penting institusi ini,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru rakyat untuk sedar bahawa Institusi Diraja dan Sistem Beraja sentiasa relevan dan diperlukan sebagai sumber kekuatan rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang pendidikan, selain pelengkap kepada sistem pentadbiran negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.