MB Perlis Syor Kerajaan Bangunkan Laluan KESBAN

KANGAR, 23 Okt – Kerajaan Perlis mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya membangunkan Laluan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) yang bersempadanan antara Malaysia dan Thailand diantara Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata tujuan pembangunan sebagai inisiatif mengekang jenayah penyeludupan di sempadan selain merancakkan dan mengaktifkan ekonomi di kawasan utara Perlis.

“Sekarang ini laluan itu (KESBAN) digunakan oleh pasukan keselamatan (Pasukan Gerakan Am) yang mengawal kawasan secara berkala. Saya cadangkan jalan itu dibangun dan dinaik taraf,” katanya semalam.

Menurut Azlan, laluan KESBAN sepanjang 26.2 kilometer digunakan untuk rondaan keselamatan.

Azlan berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa ia memiliki ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Visual berdurasi 11 minit itu turut merakam kegiatan sekumpulan individu secara terbuka membawa keluar barangan bersubsidi dipercayai minyak masak dan tepung gandum, melalui pagar sempadan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.